Pencapaian Anding Indrawani Zaini

Selain melayakkan dirinya menjadi salah seorang peserta Akademi Fantasia 2 pada 2004, beliau sebelum itu juga pernah meraih beberapa anugerah ketika menuntut di Universiti Teknologi MARA. Antaranya, Anugerah Jurukamera Terbaik (Hari Karyawan 2003), Anugerah Pengarah Terbaik (Hari Karyawan 2003) dan filem pendek arahan beliau iaitu Koloni Sampah turut memenangi Anugerah Filem Pendek Terbaik selain 7 anugerah yang lain pada malam anugerah yang sama.

Meskipun beliau memulakan kerjayanya sebagai penyanyi, beliau lebih cenderung kepada bidang lakonan. Antara drama lakonannya ialah Impian, Gitar Tua, Klon Teja, Cinta Terakhir, Lima, Mahabbah D'Laila, 10, dan beberapa lagi drama tempatan yang lain. Namun, lakonannya yang dikatakan memberi kesan ialah watak Alam dalam drama bersiri Ghost 2 yang ditayangkan di 8TV. Anding juga pernah membintangi filem Gol dan Gincu (2006) arahan Bernard Chauly di awal penglibatannya dalam bidang lakonan. Selain drama TV, beliau pernah terlibat dalam pementasan teater Raja Andak Raja Laksamana dan Batu Belah. Namun pada awal tahun 2011, beliau diberi tugas berat untuk melakonkan teater muzikal Terima Kasih Cinta arahan Pat Ibrahim yang digarap daripada filem Cinta dan dipersembahkan di Panggung Budaya, Istana Budaya. Beliau merealisasikan watak Dhani yang dilakonkan oleh Que Haidar dalam versi filem. Tetapi sebelum itu, kecenderungannya dalam muzikal terserlah ketika diberikan watak Adiwira menerusi drama episod Hotel Mania yang ditayangkan di TV3 pada 2010.

Beliau juga masih lagi bergiat aktif dalam bidang seni suara dan pernah merakamkan beberapa buah lagu untuk kompilasi trilogi EVO04/03 bersama beberapa bintang Akademi Fantasia yang lain.

Dalam bidang pengacaraan pula, Anding pernah menjadi pengacara untuk dua rancangan yang ditayangkan secara langsung iaitu THUMB TV di NTV7 dan satu rancangan berbahasa Inggeris, Channel X-Live (8TV). Rancangan lain termasuklah 1525, Skrip ke Skrin, This Is IT dan yang terbaru beliau banyak mengacara rancangan majalah yang berbentuk travel log, contohnya Eksplorasi Lata di mana beliau menjelajah hutan-hutan tebal dan air terjun di Semenanjung Malaysia. Beliau turut mengacara beberapa lagi rancangan berbentuk travel log, antaranya Klik-Klik Asia di mana beliau merantau ke beberapa negara termasuk China, India dan Vietnam dan Klik-Klik Andalus di mana beliau mengembara ke bumi Andalusia sejauh Maghribi, Sepanyol, Gibraltar dan Portugal. Beliau juga pernah menjadi DJ radio dari 2006-2008 untuk stesen radio RED FM. Beliau muncul dalam filem Rembat arahan Shamel Othman yang diterajui oleh Shaheizey Sam dan Ah Niu. Pada 2017, beliau masih bergiat aktif dalam bidang teater muzikal MudĀ : Our Story of Kuala Lumpur [2] yang turut diiktiraf sebagai teater muzikal yang terpanjang tempoh pementasannya di Malaysia. Teater muzikal ini diterbitkan oleh pelakon dan penerbit teater muzikal terkenal iaitu Puan Sri Tiara Jacquelina.